Thursday, August 14, 2014

ACAR IKAN MASIN

ASSALAMUALAIKUM...

Menu yg dibuat dlm bulan puasa aritu, tak sempat on air kat sini.. Resipi ACAR IKAN MASIN ni K.Nor ambil kat dapur CMG. Memang sedap dan menjadi pembuka selera bila berbuka. K.Nor guna ikan talang masin yg tak berapa nak tebal isinya. Jadi tak berapa nampak sgt la rupa ikan tu dlm gambar ni.. 


Mekasih kepada CMG yg memanjangkan resipi ni dan juga kepada owner asal resipi iaitu Allahyarhamah Noreen Noor. Semoga perkongsiannya ini memberi rahmat berpanjangan buat arwah... amiin..

ACAR IKAN MASIN
sumber : CMG@Tiffinbiru
BAHAN-BAHANNYA :
200 gram isi ikan masin talang (boleh ganti dengan isi ikan masin kurau)
10 biji bawang merah kecil
10 ulas bawang putih
20 biji cili padi kampung (boleh kurangkan)
3 camca besar cuka makan (JALEN)
1 camca besar gula melaka
3 camca besar gula pasir (atau secukup rasa)
2 tangkai daun kari, dilurutkan
Garam secukup rasa
1/4 cawan air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :
2 camca besar cili kisar
1 biji bawang besar
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN-BAHAN REMPAH :
1 camca teh ketumbar biji
1 camca teh jintan kasar
1 camca teh jintan halus
3/4 camca teh halba
1 camca teh biji sawi

CARA MEMBUATNYA :
Isi ikan talang masin dihiris kecil, cuci dan rendam sekurang2nya 1 jam, tukar air rendaman setiap 20 minit. Kemudian toskan dan biar kering sekejap. Goreng hingga kekuningan dengan api sederhana. Angkat dan toskan. Bahan2 rempah digoreng tanpa minyak hingga harum, guna api kecil dan kacau selalu. Kemudian kisar (gunakan kisar kering) atau tumbuk hingga halus. Ketepikan.
Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis daun kari hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga garing. Tambah bahan2 rempah yang dikisar/ditumbuk halus tadi. Kacau rata dan masak sekejap. Guna api kecil.
Masukkan gula melaka, gula pasir dan cuka makan. Kacau rata dan tambah 1/2 camca teh garam. Kacau dan masukkan ikan masin yang telah digoreng, bawang merah, bawang putih dan cili padi. Gaul rata. Tuang air, kacau dan kecilkan api. Masak hingga pekat. Rasa dan jika perlu baru masukkan sedikit lagi garam, begitu juga dengan gula. Matikan api, dan boleh hidangkan bersama nasi putih.